Eksport Malaysia 2026 dijangka tumbuh sederhana, pelancongan jadi pemacu

Foto hiasan/ BERNAMA

PETALING JAYA, 12 Januari Prospek eksport Malaysia bagi tahun 2026 dijangka mencatat pertumbuhan sederhana seiring penyesuaian ekonomi global terhadap corak perdagangan baharu serta struktur tarif yang berubah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancongan sebagai perkhidmatan eksport dijangka menjadi pemacu utama sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
  • Pemulihan perlombongan dan operasi LNG serta minyak mentah penuh menyokong prestasi eksport.
  • Sektor berpotensi tinggi termasuk E&E, industri halal dan pertanian bernilai tinggi disokong permintaan teknologi global.
  • Risiko termasuk pengukuhan ringgit, tarif Amerika Syarikat dan perubahan struktur permintaan global serta China.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata, sektor pelancongan yang diklasifikasikan sebagai perkhidmatan eksport akan menjadi antara pemacu utama tahun ini, selari dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menurut beliau, akaun eksport perkhidmatan dijangka merekodkan lonjakan ketara hasil peningkatan susulan jangkaan kemasukan pelancong ke paras tertinggi.

“Menjalankan perniagaan di Malaysia juga adalah satu bentuk eksport. Kunjungan pelancong sangat penting kerana kerajaan telah membuat pelaburan besar melalui Tourism Malaysia. Lebih ramai pelawat bermakna lebih banyak hasil kepada negara.

“Kami berharap dapat kembali mencatat lebihan dagangan. Sektor pelancongan menyumbang kira-kira 50 peratus eksport dan 20 peratus import negara”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Prospek Eksport pada pembentangan MBSB Market and Export Outlook 2026, disini, hari ini.

Selain itu, pemulihan sektor perlombongan turut dijangka menyokong prestasi eksport apabila pengeluaran gas asli cecair (LNG) dan minyak mentah kembali beroperasi pada kapasiti penuh selepas kerja penyelenggaraan menyeluruh pada 2025.

Raja Badrulnizam berkata, sasaran kadar pertumbuhan purata tahunan bagi tempoh 2026 hingga 2030 ditetapkan pada 5.8 peratus, dengan nilai eksport barangan disasarkan mencecah RM2.09 trilion menjelang 2030.

Antara sektor berpotensi tinggi dikenal pasti termasuk elektrik dan elektronik (E&E), industri halal serta pertanian bernilai tinggi, disokong oleh kitaran naik sektor teknologi global khususnya permintaan berkaitan kecerdasan buatan dan pembungkusan semikonduktor termaju.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan beberapa risiko masih wujud termasuk pengukuhan ringgit, kesan tarif Amerika Syarikat, penyederhanaan permintaan global serta perubahan struktur ekonomi China.

Prestasi perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga November 2025 kekal memberangsangkan dengan jumlah perdagangan meningkat 5.8 peratus kepada RM2.78 trilion, eksport naik 6.1 peratus kepada RM1.45 trilion, manakala import meningkat kepada RM1.32 trilion.

Pasaran utama eksport negara dalam tempoh itu ialah ASEAN, Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah dan Hong Kong.