Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.7% suku keempat 2025

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Januari – Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.7 peratus pada suku keempat 2025, lebih tinggi berbanding 5.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan ekonomi suku keempat 2025 diunjur 5.7 peratus, tertinggi sejak suku kedua 2024.
  • Sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang utama, dengan perkhidmatan 5.4% dan pembuatan 6.0%.
  • Pengukuhan didorong oleh permintaan domestik, pelancongan, perbelanjaan perayaan, pelaburan dan acara antarabangsa.

Anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu merupakan yang tertinggi sejak suku kedua 2024, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar direkodkan pada 5.9 peratus.

Bagi keseluruhan tahun 2025, ekonomi Malaysia diramal mengukuh kepada 4.9 peratus, menghampiri pertumbuhan 5.1 peratus pada tahun 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan kukuh ekonomi pada suku keempat 2025 dipacu oleh pertumbuhan berterusan sektor perkhidmatan sebanyak 5.4 peratus.

”Sementara itu, sektor pembuatan berkembang 6.0 peratus, terutamanya disokong oleh produk elektrik, elektronik dan optikal serta minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta pemprosesan makanan.

”Pertumbuhan sektor pembinaan kekal kukuh pada 11.9 peratus, manakala sektor pertanian turut mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.1 peratus berbanding pertumbuhan marginal 0.4 peratus pada suku ketiga 2025,” katanya menerusi kenyataan.

Sektor perlombongan dan pengkuarian pula mencatatkan peningkatan 1.1 peratus berikutan pengeluaran yang lebih perlahan dalam minyak mentah dan kondensat.

”Pertumbuhan ekonomi suku keempat 2025 disokong oleh pengukuhan permintaan domestik yang dipacu aktiviti pelancongan, peningkatan perbelanjaan berkaitan persekolahan dan perayaan, pasaran buruh yang stabil serta pelaburan berterusan, meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.

”Selain itu, penganjuran pelbagai mesyuarat dan acara antarabangsa berskala besar tahun lalu ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, serta Pilihan Raya Negeri Sabah, turut merancakkan aktiviti ekonomi pada suku berkenaan,” katanya lagi.

Bagi keseluruhan 2025, semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif dengan sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan 5.1 peratus pada 2025, berbanding 5.3 peratus pada 2024.

Sektor pembuatan terus mencatatkan pertumbuhan stabil pada 4.5 peratus dan sektor pembinaan mengekalkan pertumbuhan dua angka pada 12.4 peratus pada 2025, berbanding 17.5 peratus pada tahun lalu.

Manakala, sektor pertanian menyederhana kepada 2.2 peratus serta sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan pertumbuhan marginal 0.5 peratus.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan