
KUALA LUMPUR, 10 April – Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 4.6 peratus pada 2026 dan 4.5 peratus pada 2027, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta perbelanjaan isi rumah.
- Sokongan pertumbuhan: perbelanjaan isi rumah, peningkatan eksport AI dan elektronik, serta pelaburan dalam pusat data.
- Risiko: konflik Asia Barat boleh menjejaskan pertumbuhan global, meningkatkan inflasi dan beban subsidi kerajaan.
- Dasar dan pelaburan awam menyokong prospek, termasuk pembiayaan RMK-13 dan pengukuhan jangkaan pertumbuhan.
- Inflasi dijangka terkawal sekitar 1.8 hingga 1.9 peratus, namun risiko dari penyesuaian tarif, SST dan kenaikan harga minyak wujud.
Bagaimanapun, prospek pertumbuhan itu kekal berdepan risiko penurunan, khususnya jika konflik di Asia Barat berpanjangan, yang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan global serta tekanan inflasi.
Pegawai Kerjasama Serantau Utama, Jabatan Asia Tenggara ADB, Dulce Zara berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia turut disokong oleh peningkatan eksport berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan elektronik, selain pelaburan berterusan dalam pusat data.
Menurut beliau, Malaysia terus mendapat manfaat daripada pembangunan sektor digital serta pengukuhan kedudukannya dalam rantaian bekalan teknologi serantau.
“Perbelanjaan isi rumah terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Selain itu, peningkatan eksport berkaitan AI dan elektronik turut menyokong pertumbuhan. Malaysia juga berada dalam kedudukan yang baik, dengan pelaburan dalam pusat data serta pelaburan daripada sektor awam,” katanya pada Webinar Asian Impact bersempena penerbitan Laporan Tinjauan Pembangunan Asia (ADO) April 2026.
Beliau turut menjelaskan prospek Malaysia kekal positif disokong oleh perancangan pembangunan kerajaan serta peningkatan jangkaan pertumbuhan ekonomi.
“Susulan pembiayaan kerajaan terhadap pelan pembangunan seterusnya iaitu Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), serta semakan semula unjuran pertumbuhan kepada sekitar lima peratus tahun ini, kami berpendapat unjuran kami adalah munasabah, malah kami melihat potensi peningkatan bagi Malaysia,” katanya.
Secara keseluruhan, ADB mengekalkan pandangan berhati-hati namun positif terhadap ekonomi Malaysia, sejajar dengan prestasi pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan sebelum ini.
Laporan ADO April 2026 memperincikan unjuran pertumbuhan ekonomi serantau serta risiko yang boleh memberi kesan kepada prestasi ekonomi negara-negara membangun termasuk Malaysia.
Menurut Zara, ketegangan berterusan di Asia Barat turut mengekalkan beberapa risiko terhadap ekonomi, khususnya kenaikan harga minyak yang boleh meningkatkan beban subsidi kerajaan, sekali gus memberi tekanan kepada kewangan awam.
Laporan itu turut menjangkakan kadar inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.8 peratus tahun ini dan 1.9 peratus pada 2027, dengan kesan limpahan daripada reformasi fiskal yang masih terkawal.
Bagaimanapun, tekanan harga boleh berlaku susulan pelarasan tarif serta kesan tertangguh daripada kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), selain peningkatan harga minyak yang boleh menaikkan kos pengeluaran.
Dari segi mata wang, ringgit dijangka mengukuh pada purata RM4.00 berbanding dolar AS, disokong oleh keyakinan terhadap ekonomi domestik serta aliran pelaburan.
Laporan itu turut menekankan keperluan Malaysia untuk memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui strategi menyeluruh, termasuk memperkukuh kerjasama industri dan institusi pendidikan, memperluas pembiayaan latihan melalui kerjasama awam-swasta, insentif cukai, biasiswa bersasar serta laluan kerjaya kompetitif bagi mengurangkan isu pengaliran bakat.