
KUALA LUMPUR, 31 Mac– Ekonomi Malaysia bagi tahun 2026 dijangka kekal kukuh, namun risiko dan faktor luaran akan terus dipantau secara rapi.
- Melaksanakan reformasi struktur termasuk pelaburan infrastruktur berasaskan AI dan teknologi untuk memperkukuh daya tahan sektor luaran.
- Reformasi pasaran buruh untuk pengekalan bakat dan peningkatan pendapatan bagi menangani tekanan kos sara hidup.
- Menggerakkan pembiayaan ke sektor pertumbuhan baharu melalui platform FSE bagi penyelesaian praktikal dan pembiayaan pemangkin.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi negara berdaya tahan tetapi tidak terkecuali daripada ketidaktentuan global.
Katanya, ketidaktentuan itu termasuk ketegangan geopolitik, risiko tenaga serta perubahan dasar perdagangan dunia.
Justeru, reformasi struktur diperlukan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.
“Pertama, membina daya tahan sektor luaran dalam persekitaran global yang semakin berpecah dan dipacu teknologi, termasuk meneruskan pelaburan dalam infrastruktur berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Kedua, melaksanakan reformasi pasaran buruh dengan memperkukuh pengekalan bakat serta meningkatkan pendapatan bagi menangani tekanan kos sara hidup,” katanya.
Tambah beliau, perlindungan sosial juga wajar diperluas melalui sistem bantuan yang lebih bersasar dan bersepadu bagi meningkatkan mobiliti sosial rakyat.
Selain itu, Malaysia perlu menggerakkan pembiayaan bagi sektor pertumbuhan baharu dengan memastikan aliran pembiayaan yang cekap ke sektor keutamaan.
Langkah itu penting bagi menyokong inovasi serta memacu fasa pertumbuhan ekonomi seterusnya.
Dalam masa sama, BNM menubuhkan platform Penglibatan Sektor Pembiayaan (FSE) bagi membangunkan penyelesaian pembiayaan yang lebih praktikal untuk sektor ekonomi utama.
Inisiatif itu menyokong pembiayaan yang lebih bersifat pemangkin serta membolehkan institusi perbankan memainkan peranan lebih besar.