Ekonomi altitud rendah: Malaysia rangka perundangan baharu

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook/RTM

KUALA LUMPUR, 26 Januari -Malaysia sedang merangka, satu kerangka perundangan bagi menyokong pembangunan ekonomi altitud rendah, termasuk penggunaan teknologi seperti dron dan kenderaan tanpa pemandu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerangka perundangan baru sedang dirangka untuk menyokong ekonomi altitud rendah dan pengoperasian teknologi seperti dron.
  • Fokus pada inovasi, pemindahan teknologi, pengukuhan rantaian nilai dan pembangunan kapasiti tempatan.
  • Sektor altitud rendah mempunyai potensi besar dalam logistik, pertanian, pengurusan bencana dan mobiliti bandar.
  • Kerjasama Malaysia-China termasuk pemindahan teknologi, pembuatan tempatan dan pembangunan kemahiran.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha tersebut bertujuan memperkukuh inovasi, rantaian nilai serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, sektor itu bukan sekadar melibatkan penerapan teknologi baharu, tetapi juga merangkumi kerjasama kawal selia, pemindahan teknologi, pengukuhan rantaian bekalan dan pembangunan keupayaan tempatan.

“Malaysia perlu memberi perhatian dan kini kita sedang merangka kerangka perundangan bagi membolehkan semua teknologi ini berfungsi dan beroperasi secara sah,” katanya ketika berucap pada Forum on Building a High-Level Strategic Malaysia–China Community with a Shared Future di sebuah hotel, di sini.

Loke berkata, ekonomi altitud rendah, yang merujuk kepada aktiviti di bawah ketinggian 1,000 meter, mempunyai potensi besar merangkumi logistik, pertanian, pemeriksaan infrastruktur, pengurusan bencana, mobiliti bandar dan perkhidmatan awam.

Beliau menegaskan pengalaman China menggunakan teknologi dron, termasuk operasi menyelamat ketika bencana, membuktikan potensi sektor itu jika dibangunkan secara bertanggungjawab dan berorientasikan jangka panjang.

Malaysia juga mengalu-alukan kerjasama dengan China yang melangkaui penjualan produk siap, termasuk pemindahan teknologi, pembuatan tempatan, penyelenggaraan, dan pembangunan kemahiran.

Dalam pada itu, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing berkata kerjasama kedua-dua negara mencatat hasil memberangsangkan dalam bidang ekonomi digital, pembangunan hijau, kenderaan penerbangan baharu dan kecerdasan buatan (AI), menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan China.