
KUALA LUMPUR, 31 Januari – Diplomasi ekonomi perlu dimanfaatkan secara strategik untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berterusan serta merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negara ASEAN.
- Manfaatkan diplomasi ekonomi secara strategik untuk menarik dan mengekalkan pelaburan asing langsung demi kestabilan jangka panjang.
- Libatkan pelbagai kementerian dan agensi untuk bina hubungan jangka panjang dengan pelabur sedia ada dan baharu.
- Sokong pengagihan FDI lebih saksama melalui galakan pelaburan intra-ASEAN dan promosi bersama sebagai satu blok.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, pendekatan dasar luar itu perlu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi bagi membina asas hubungan jangka panjang dengan pelabur asing.
”Untuk menarik kemasukan pelaburan asing, kita harus menjalankan promosi dan menjalin hubungan jangka panjang dengan pelabur.
”Jadi diplomasi ekonomi ini menjadi pendekatan untuk kita membina hubungan yang baik dengan pelabur, yang tidak terhad kepada pelabur baharu, malah pelabur sedia ada untuk mengekalkan pelaburan mereka dan meningkatkan pelaburan,” katanya selepas Majlis Syarahan Perdana di UKM, Bangi pada Jumaat.
Tambahnya, pendekatan ini amat penting dalam konteks serantau yang mempunyai jurang ekonomi besar antara negara anggota, dengan perbezaan ketara dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.
Tambahnya, cabaran utama ASEAN adalah memastikan aliran FDI dapat diagihkan secara lebih saksama dan tidak hanya tertumpu kepada negara maju.
”Antara usaha menanganinya adalah dengan menggalakkan pelaburan intra-ASEAN, khususnya daripada negara lebih maju seperti Singapura, Malaysia dan Vietnam ke negara anggota yang sedang membangun.
”Selain itu, ASEAN perlu bergerak sebagai satu blok menerusi promosi pelaburan bersama serta memperkukuh keupayaan diplomasi ekonomi,” katanya.