
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 menetapkan hala tuju yang jelas bagi fasa seterusnya pembangunan pasaran modal Malaysia.
- Mengukuhkan kerancakan pasaran, meluaskan penyertaan pelabur serta memajukan kemampanan dan kesalinghubungan serantau.
- Bursa akan tarik lebih banyak IPO, membangunkan indeks dan program untuk tingkatkan keterlihatan, daya saing dan penciptaan nilai syarikat tersenarai.
- Kejayaan CMP bergantung pada pelaksanaan berdisiplin, insentif cukai, reformasi berterusan, fleksibiliti akaun modal dan isyarat dasar jelas mengenai kemampanan, AI dan pendigitalan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, rangka kerja pelan induk itu akan memastikan pasaran kekal relevan pada masa akan datang.
Pada masa sama, ia turut menyumbang kepada pertumbuhan negara yang mampan dan saksama melalui pengukuhan kerancakan pasaran, peluasan penyertaan, memajukan kemampanan termasuk memperkukuh kesalinghubungan serantau.
”Bursa Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam mencapai aspirasi CAMP yang berhasrat untuk mengembangkan saiz pasaran modal Malaysia antara RM1.5 trilion hingga RM2 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
”Bagi menyokong matlamat tersebut, Bursa Malaysia akan meningkatkan usaha menarik aliran tawaran awam permulaan (IPO) serta membangunkan indeks dan program yang meningkatkan keterlihatan, daya saing dan potensi penciptaan nilai syarikat tersenarai di Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.
Jelasnya, bursa juga akan meluaskan jangkauan pelabur dan penyertaan runcit, selain menambah baik laluan pengumpulan dana kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd berkata, CMP 2026–2030 berpotensi meningkatkan kerancakan pasaran modal Malaysia.
Bank pelaburan itu berkata, walaupun sasaran saiz pasaran antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion, dilihat agak tinggi namun masih boleh dicapai, didorong asas kukuh pasaran yang mencapai RM4.3 trilion pada 2025, bersamaan kira-kira 2.1 kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
”Untuk mencapai sasaran saiz pasaran RM6.3 trilion, ia bergantung kepada penglibatan seluruh negara, termasuk insentif cukai dan pelaburan yang ditentukur dengan teliti, reformasi berterusan, fleksibiliti akaun modal yang pragmatik serta isyarat dasar yang jelas mengenai kemampanan, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.
”Secara keseluruhan kejayaan CMP adalah bergantung kepada pelaksanaan yang berdisiplin,” jelas MBSB dalam nota penyelidikannya.