Buruh paksa, lebihan kapasiti: MITI bakal perjelas dakwaan AS

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani/ Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Malaysia akan memberi penjelasan kepada Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan lebihan kapasiti pengeluaran dan penggunaan buruh paksa dalam siasatan mengikut Seksyen 301.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebihan kapasiti tidak semestinya bermakna Malaysia melakukan lambakan produk ke pasaran Amerika Syarikat.
  • Amalan lambakan berlaku apabila produk dijual di pasaran eksport pada harga lebih rendah berbanding harga di negara asal.
  • AS memulakan siasatan Seksyen 301(b) terhadap 15 negara termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah berkaitan lebihan kapasiti perkilangan.
  • Wakil Perdagangan AS juga menyiasat isu buruh terhadap 60 ekonomi termasuk tujuh negara ASEAN; Malaysia menegaskan undang-undang buruh melindungi pekerja.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata lebihan kapasiti pengeluaran tidak semestinya bermaksud Malaysia melakukan amalan lambakan produk ke AS.

“Jika Malaysia mempunyai lebihan kapasiti sekali pun, ia tidak bermakna kita melakukan lambakan terhadap produk yang dihantar ke pasaran Amerika Syarikat,” katanya.

Menurut beliau, amalan lambakan lazimnya berlaku apabila sesuatu produk dijual pada harga lebih rendah di pasaran eksport berbanding harga di negara asal.

Perkara itu boleh dijelaskan melalui perbandingan harga jualan di pasaran tempatan dan eksport.

Datuk Seri Johari mengulas tindakan AS memulakan siasatan terhadap 15 negara termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) mengikut Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 berkaitan lebihan kapasiti pengeluaran sektor perkilangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Wakil Perdagangan AS (USTR), Duta Jamieson Greer turut memulakan siasatan terhadap 60 ekonomi bawah peruntukan sama berkaitan isu buruh.

Antara negara terlibat ialah tujuh negara ASEAN iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Datuk Seri Johari menegaskan Malaysia mempunyai undang-undang buruh yang jelas bagi memastikan pekerja dilindungi dan tidak berlaku eksploitasi.

Penggunaan pekerja bawah umur juga tidak dibenarkan di seluruh negara.