
KUALA LUMPUR, 13 Februari – Bursa Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) memeterai kerjasama strategik bagi membangunkan Playbook Pekerjaan Inklusif Malaysia (MINE) untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).
- Kerjasama Bursa Malaysia dan UNDP membangunkan Playbook MINE untuk mempromosikan pekerjaan inklusif bagi OKU.
- Fokus 2026 pada pengukuhan DEI termasuk pengambilan, pengekalan dan pembangunan kerjaya OKU.
- Playbook menjadi panduan praktikal untuk PLC melaksanakan amalan pekerjaan inklusif selaras pelan kemampanan korporat.
- Meja Bulat CEO mengumpulkan lebih 30 wakil untuk berkongsi amalan terbaik dan input pembangunan playbook.
Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama mempromosikan pekerjaan inklusif, memperkasa pelabur serta memperkukuh ekosistem pasaran, selain memperluas literasi kewangan kepada komuniti kurang mendapat perkhidmatan.
Bagi 2026, kerjasama ini memberi tumpuan kepada pengukuhan agenda kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI), khususnya dalam aspek pengambilan, pengekalan dan pembangunan kerjaya OKU.
Playbook MINE yang dibangunkan akan menjadi panduan praktikal kepada syarikat, khususnya Syarikat Tersenarai Awam (PLC), dalam melaksanakan amalan pekerjaan inklusif secara tersusun dan mampan selaras dengan pelan kemampanan korporat.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Bursa membina pasaran modal yang bukan sahaja menghubungkan modal kepada syarikat, malah membuka peluang lebih luas kepada rakyat.
“Melalui kerjasama ini, pembangunan MINE Playbook merupakan satu langkah penting dalam membina pasaran yang menjana impak sosial serta memperluas penyertaan ekonomi. Ia akan menyediakan rangka kerja yang praktikal dan boleh diguna pakai oleh organisasi untuk mengarusperdanakan pekerjaan inklusif secara tersusun dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kami mengiktiraf bahawa MINE Playbook adalah titik permulaan. Kejayaannya bergantung kepada usaha seluruh negara, melibatkan PLC dan syarikat korporat; kementerian serta agensi kerajaan; dan pertubuhan masyarakat sivil serta kumpulan advokasi OKU, untuk bekerjasama menstruktur semula peranan, menyelaraskan dasar dan insentif, serta memperkukuh pengalaman serta pembangunan keupayaan,” tambahnya.
Sementara itu, Wakil Residen UNDP ke Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Vrkić berkata peluasan akses pekerjaan inklusif bukan sahaja tuntutan sosial, malah pemacu produktiviti dan pertumbuhan ekonomi, selain mengurangkan risiko kemiskinan serta kehilangan potensi ekonomi.
Majlis turut disusuli sesi Meja Bulat Ketua Pegawai Eksekutif yang menghimpunkan lebih 30 wakil PLC, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil bagi berkongsi amalan terbaik dalam pengambilan dan pembangunan kerjaya OKU serta mendapatkan input untuk pembangunan playbook berkenaan.