
KUALA LUMPUR, 29 Januari -Bursa Malaysia menyasarkan jumlah permodalan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak AS$28 bilion bagi tahun 2026, meningkat berbanding AS$27.4 bilion yang dicatatkan pada 2025.
- Bursa sasarkan permodalan IPO AS$28 bilion untuk 2026, tumpu kualiti dan saiz penyenaraian.
- Keutamaan kepada syarikat berskala besar bernilai RM1 bilion ke atas untuk tingkatkan tarikan pasaran modal.
- Fokus khusus pada syarikat dalam ekosistem teknologi untuk menggalakkan penyenaraian di Pasaran Utama.
- Keuntungan bersih Bursa 2025 turun 19.3% kepada RM250.16 juta akibat dagangan pasaran sekuriti lesu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada kualiti dan saiz IPO dengan keutamaan diberikan kepada penyenaraian syarikat yang mempunyai permodalan lebih besar.
Menurut beliau, keutamaan diberikan kepada syarikat berskala besar, khususnya dalam ekosistem teknologi, bagi memperkukuh daya tarikan pasaran modal tempatan.
“Sebagai contoh, antara sektor yang kami beri perhatian ialah syarikat dalam ekosistem teknologi. Kami mahu menyokong syarikat berskala besar.
Apabila kami merujuk syarikat besar, ia bermaksud syarikat yang bernilai RM1 bilion dan ke atas. Kami mempunyai beberapa syarikat sedemikian dalam saluran penyenaraian dan sedang menggalakkan mereka untuk memasuki pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media keputusan Tahun Kewangan 2025 Bursa Malaysia, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Bursa Malaysia optimis lebih banyak syarikat bersaiz besar akan disenaraikan di Pasaran Utama tahun ini, berbanding 11 IPO yang direkodkan pada 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, Bursa Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM250.16 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, menurun 19.3 peratus berbanding RM310.12 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi lebih rendah itu didorong persekitaran dagangan pasaran sekuriti yang perlahan, dengan hasil segmen tersebut susut 19.8 peratus kepada RM308.2 juta berbanding RM381.5 juta pada 2024.