Bursa Malaysia optimis capai sasaran IPO RM28 bilion

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Bursa Malaysia Bhd kekal optimis untuk mencapai sasaran permodalan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM28 bilion tahun ini, meskipun pasaran global berdepan ketidaktentuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prestasi semasa pasaran menunjukkan asas kukuh, meletakkan Bursa Malaysia pada landasan tepat untuk mencapai atau melepasi pencapaian tahun lalu.
  • Bursa memberi tumpuan kepada syarikat berpotensi besar untuk penyenaraian berskala besar dan terus menyokong pasaran pertengahan serta PKS.
  • MoU dengan HKEX kukuhkan kerjasama strategik, perluas akses pasaran serantau, termasuk pembangunan indeks, ETF, produk berstruktur dan pasaran karbon.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fad’l Mohamed berkata, prestasi semasa pasaran menunjukkan asas kukuh, sekali gus meletakkan sasaran tersebut dalam landasan yang tepat.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran nilai pasaran IPO sebanyak RM28 bilion. Setakat ini, terdapat 16 IPO direkodkan dan berdasarkan kedudukan semasa pada Mac, kami berada di landasan yang betul untuk mencapai atau melepasi pencapaian tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bursa Malaysia dan Hong Kong Exchanges and Clearing Ltd (HKEX).

Menurutnya, tumpuan akan diberikan kepada syarikat berpotensi tinggi untuk penyenaraian berskala besar bagi memperluas pasaran, di samping terus menyokong syarikat pasaran pertengahan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bursa Malaysia akan menyediakan platform serta kemudahan bagi membantu syarikat mengemas kini maklumat dan mempercepat pertumbuhan mereka,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Bursa Malaysia dan HKEX menandatangani MoU bagi memperkukuh kerjasama strategik, memperluas sambungan pasaran serantau serta membuka peluang pelaburan rentas sempadan.

Kerjasama itu juga memberi peluang kepada syarikat berpangkalan di Hong Kong untuk disenaraikan di Malaysia bagi mengakses pasaran ASEAN, selain membolehkan syarikat tempatan meneroka pasaran Hong Kong dan China daratan bagi mendapatkan modal.

“Inisiatif ini merupakan pendekatan menang-menang dengan fokus kepada pembangunan indeks sebagai permulaan, diikuti pelancaran produk seperti dana dagangan bursa (ETF) dan produk berstruktur, termasuk potensi kerjasama dalam produk patuh Syariah,” jelas beliau.

Menerusi MoU tersebut, kedua-dua bursa akan bekerjasama dalam lima bidang strategik merangkumi pembangunan indeks, peningkatan akses dan promosi ETF, pemudahan sekuriti patuh Syariah, serta kerjasama dalam pasaran karbon.