Bursa Malaysia dijangka sederhana minggu depan

Foto fail

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Bursa Malaysia dijangka mencatat peningkatan sederhana minggu depan susulan aktiviti belian saham berharga rendah serta sentimen pelabur yang semakin pulih selepas penyusutan pasaran baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aktiviti pembelian saham murah, khususnya sektor defensif dan saham berdividen tinggi dorong pemulihan.
  • Sentimen luaran terjejas oleh peningkatan pulangan Perbendaharaan AS, kebimbangan inflasi dan ketidaktentuan geopolitik.
  • Aliran jangka sederhana pasaran tempatan menunjukkan daya tahan disokong oleh kecairan institusi domestik yang stabil.
  • Prestasi pendapatan NVIDIA melebihi jangkaan dan optimisme perbelanjaan AI menyokong sentimen teknologi serta pasaran serantau.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA, Mohd Sedek Jantan, berkata pemulihan yang berlaku pada Jumaat dijangka berterusan, didorong aktiviti pembelian saham murah terutama dalam sektor yang kekal defensif dan saham berdividen tinggi.

“Walaupun sentimen luaran kekal dipengaruhi oleh peningkatan pulangan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), kebimbangan terhadap inflasi dan ketidaktentuan geopolitik, aliran jangka sederhana pasaran tempatan masih menunjukkan daya tahan. Ia disokong oleh mudah tunai institusi domestik yang stabil,” katanya.

Tambah beliau, prestasi pendapatan NVIDIA yang melebihi jangkaan pasaran serta optimisme berterusan terhadap perbelanjaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) turut membantu meningkatkan sentimen teknologi global.

Perkembangan itu sekaligus memberi sokongan kepada pasaran ekuiti serantau termasuk Bursa Malaysia.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia kebanyakannya diniagakan rendah susulan sentimen risiko global yang lemah dan menjejaskan keyakinan pelabur.

Secara mingguan, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 27.55 mata kepada 1,712.67 daripada 1,740.22 pada minggu sebelumnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.