Bursa Malaysia dijangka berhati-hati minggu depan, susulan ketegangan Asia Barat

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 14 Mac -Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam nada berhati-hati apabila pelabur terus memantau perkembangan ketegangan di Asia Barat serta pergerakan harga tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keupayaan FBM KLCI kembali dan kekal melepasi paras psikologi 1,700 mata menjadi rujukan teknikal penting.
  • Ketegangan geopolitik boleh mengekalkan ketidaktentuan pasaran serta meningkatkan tekanan inflasi dan beban fiskal subsidi bahan api.
  • Paras sokongan terdekat dijangka sekitar 1,675 hingga 1,685 mata jika ketegangan terus memuncak.
  • Harga Brent menghampiri AS$100 setong; isyarat pemimpin Iran mengenai Selat Hormuz menambah kebimbangan bekalan tenaga global.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Pakar Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata keupayaan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk kembali dan kekal melepasi paras psikologi 1,700 mata akan menjadi rujukan teknikal penting.

Ini khususnya selepas indeks penanda aras itu ditutup pada 1,698.51 mata pada penghujung minggu lalu.

“Sekiranya ketegangan geopolitik terus meningkat, ketidaktentuan pasaran berkemungkinan berterusan apabila pelabur menilai semula implikasi makroekonomi yang lebih luas.

Situasi ini termasuk tekanan inflasi yang meningkat serta potensi kesan fiskal akibat peningkatan subsidi bahan api.” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, FBM KLCI berpotensi menyaksikan paras sokongan terdekat sekitar 1,675 hingga 1,685 mata sekiranya ketegangan geopolitik terus memuncak.

Pada masa sama, ketegangan yang meningkat di Asia Barat turut menolak harga minyak mentah Brent crude kembali menghampiri AS$100 setong.

Ini menandakan kali kedua penanda aras tersebut melepasi paras berkenaan minggu ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap potensi gangguan aliran bekalan tenaga melalui Selat Hormuz.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia turut susut di bawah paras psikologi utama 1,700 mata apabila sentimen pasaran terus terjejas oleh perkembangan geopolitik.

Keadaan itu berlaku selepas pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, memberi isyarat bahawa Selat Hormuz berkemungkinan kekal ditutup, sekali gus menambah kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga global.