
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Krisis geopolitik global tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman semata-mata, sebaliknya ia mampu membuka peluang baharu untuk meneroka sektor strategik.
- PMKS perlu teroka tenaga suria, penyimpanan tenaga dan teknologi kecekapan tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas.
- Perkukuh sektor logistik dan ketahanan rantaian bekalan untuk mengurangkan gangguan akibat konflik serta memastikan kesinambungan pasaran domestik.
- Tingkatkan kapasiti pertanian moden, perikanan dan agromakanan; jadikan sektor ini pemacu ekonomi serta sumber keselamatan makanan dan eksport.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Tuan Mohd Azamanizam Baharon berkata menerusi strategi tepat, Malaysia mampu menjadikannya sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi yang lebih berdaya tahan.
Jelasnya, peningkatan harga minyak dan gas dunia akibat ketidaktentuan geopolitik misalnya, memberi isyarat jelas bahawa industri tenaga baharu dan tenaga boleh baharu perlu diperkasa.
“Perusahaan Kecil, Sederhana dan Kecil (PMKS) tempatan wajar melihat peluang besar dalam sektor tenaga solar, penyimpanan tenaga serta teknologi kecekapan tenaga sebagai penyelesaian tenaga alternatif.
”Permintaan terhadap teknologi ini dijangka meningkat apabila negara dan industri berusaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber minyak dan gas yang terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik global, ” katanya kepada RTM.
Selain itu, konflik global turut menonjolkan kepentingan memperkukuh sektor logistik tempatan serta ketahanan rantaian bekalan negara.
Tambahnya, aspek keselamatan makanan negara juga perlu diberi perhatian kerana Malaysia berpotensi menjadi pengeksport makanan sekiranya mempunyai kapasiti pengeluaran yang mencukupi.
Beliau berkata sektor pertanian moden, perikanan serta agromakanan tidak lagi wajar dilihat sebagai sektor ekonomi kelas kedua, sebaliknya mampu menjadi pemacu baharu ekonomi negara.
PERDASAMA turut menyeru usahawan PMKS untuk meneroka sektor strategik yang mampu menjana nilai ekonomi baharu serta mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar negara.