BNM unjur ekonomi Malaysia tumbuh 4.0 hingga 5.0 peratus, disokong permintaan domestik kukuh

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka pertumbuhan ekonomi negara berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2026, dipacu oleh permintaan domestik yang kekal kukuh, peningkatan pelaburan serta pertumbuhan eksport berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbelanjaan isi rumah berdaya tahan disokong oleh pasaran buruh positif dan pertumbuhan pendapatan.
  • Momentum pelaburan kukuh dengan realisasi projek lebih tinggi dan pelaburan langsung asing dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
  • Eksport disokong asas lebih pelbagai termasuk sektor elektrik dan elektronik serta peningkatan pelaburan pusat data.
  • Ketidaktentuan geopolitik boleh jejaskan kos import, prestasi perdagangan dan aliran kewangan. Pengeksport tenaga dan subsidi bersasar sebahagiannya mengimbangi.

Menurut Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, realisasi pelaburan yang lebih tinggi serta prestasi sektor pelancongan yang stabil dijangka terus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara.

”Kita melihat perbelanjaan isi rumah berdaya tahan berikutan keadaan pasaran buruh yang positif dan pertumbuhan pendapatan yang berterusan. Pengangguran juga di paras yang terendah pada 2.9 peratus dengan upah yang meningkat dan kedua ialah kita melihat momentum yang kukuh dalam aktiviti pelaburan.

Tahun lalu kita menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam pelaburan, kita mempunyai projek pelaburan untuk tempoh beberapa tahun dan pelaburan langsung asing yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya demikian pada taklimat media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2025 (LT 2025), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 (TEM 2025) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua Tahun 2025 (TKK ST2 2025) di sini, hari ini.

Dari sudut luaran, eksport Malaysia kekal disokong oleh asas yang lebih pelbagai, termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang dijangka mendapat manfaat daripada kitaran pelaburan teknologi global serta peningkatan pelaburan pusat data.

Namun begitu, BNM memaklumkan prospek pertumbuhan masih berdepan risiko luaran khususnya ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang boleh menjejaskan pasaran tenaga global serta memberi kesan kepada kos import, prestasi perdagangan dan aliran kewangan.

Dalam masa sama, impak tersebut dijangka sebahagiannya dapat diimbangi oleh kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga serta pelaksanaan subsidi bersasar yang membantu mengawal tekanan kos domestik.