BE 2026 mampu kesan industri, produk baharu pasca pendigitalan

Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) menyempurnakan Peluncuran Banci Ekonomi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) / BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Februari – Banci Ekonomi (BE) 2026 berperanan penting untuk mengesan perkembangan industri serta produk baharu yang muncul susulan perubahan struktur ekonomi didorong kemajuan teknologi, pendigitalan dan tuntutan pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • BE 2026 memetakan arah perkembangan ekonomi masa depan berdasarkan data tepat di lapangan.
  • Banci dijalankan berperingkat melalui tiga fasa melibatkan mikro, PMKS dan pertubuhan besar.
  • Fokus awal pada sektor informal termasuk penjaja, inap desa, pasar tani dan pencipta kandungan digital.
  • Data banci membantu kerajaan, industri dan rakyat membuat keputusan berasaskan fakta.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata banci itu bukan sekadar merekod keadaan ekonomi semasa, tetapi juga memetakan arah perkembangan ekonomi pada masa depan.

“Kita memerlukan kerjasama orang awam agar proses banci dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Data yang
diperoleh bukan sahaja membantu kerajaan dan industri, malah rakyat dalam membuat keputusan. ”

“Hasratnya ialah memastikan setiap dasar dan keputusan dibuat berasaskan fakta serta angka yang diperoleh secara tepat di lapangan ,”katanya selepas majlis peluncuran banci berkenaan, di Putrajaya.

BE 2026 dilaksana secara berperingkat melalui tiga fasa utama bermula 5 Januari hingga 31 Oktober meliputi pertubuhan mikro dan informal, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta pertubuhan besar.

Fokus awal turut diberikan kepada sektor informal seperti penjaja, pengusaha inap desa, peniaga pasar tani dan pencipta kandungan digital bagi memastikan sumbangan mereka diambil kira dalam statistik rasmi negara.

Secara keseluruhan, banci keenam ini dijangka meliputi 1.34 juta pertubuhan merangkumi lima sektor utama iaitu pertanian, pembinaan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan.