
KUALA LUMPUR, 11 April – Bantuan khusus yang disedia institusi perbankan mampu menyokong kelangsungan operasi perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam suasana ekonomi tidak menentu ketika ini.
- Penjadualan semula bayaran dan sokongan sementara kritikal untuk mengurus aliran tunai dan mengekalkan kecairan bagi memenuhi komitmen harian.
- Membantu perniagaan bayar gaji, sewa dan pembekal, mengurangkan risiko gangguan operasi serta mencegah hentian perniagaan.
- Mengelak penggunaan dana kecemasan atau hutang tidak produktif, memberi ruang bertahan sepanjang tempoh mencabar.
- Bantuan jangka pendek; PKS disaran perkukuh asas kewangan, susun semula operasi, pelbagaikan pendapatan dan urus hutang sistematik.
Penganalisis Korporat dan Perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik berkata sokongan tersebut memberi ruang kepada peniaga untuk mengurus aliran tunai dengan lebih cekap serta mengekalkan kecairan kewangan bagi memenuhi komitmen harian.
“Bantuan seperti penjadualan semula bayaran dan sokongan kewangan sementara sememangnya kritikal bagi memastikan kesinambungan operasi syarikat, khususnya PKS.
“Ia membantu perniagaan memenuhi pelbagai komitmen semasa termasuk pembayaran gaji kepada pekerja, sewa premis dan bayaran kepada pembekal. Tanpa sokongan ini, tekanan aliran tunai boleh menyebabkan operasi perniagaan terhenti atau terjejas,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan juga dapat mengelak peniaga menggunakan dana kecemasan atau menambah hutang tidak produktif, sekali gus memberi ruang bertahan dalam tempoh mencabar.
Sokongan institusi perbankan turut menyumbang kepada kestabilan keseluruhan ekosistem perniagaan dengan mengurangkan risiko gangguan operasi, kehilangan keyakinan pembekal serta peningkatan kos pemulihan.
Bagaimanapun, bantuan tersebut bersifat jangka pendek dan bukan penyelesaian menyeluruh terhadap cabaran dihadapi peniaga.
Mereka disaran memanfaatkan tempoh bantuan untuk memperkukuh asas kewangan, menyusun semula operasi, mempelbagaikan sumber pendapatan serta mengurus hutang dengan lebih sistematik.
Jelas beliau, daya tahan sebenar sesebuah perniagaan bergantung kepada keupayaan syarikat menyesuaikan model perniagaan dengan persekitaran ekonomi baharu agar kekal mampan dalam jangka panjang.