Aset rizab rasmi berjumlah AS$125.53 bilion pada akhir Disember 2025

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Januari – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$125.53 bilion setakat akhir Disember 2025, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$266.1 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aliran keluar jangka pendek mata wang asing dikenal pasti untuk 12 bulan akan datang berjumlah AS$12.14 bilion.
  • Kedudukan jualan hadapan bersih ialah AS$21.23 bilion, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.
  • Unjuran aliran masuk mata wang asing untuk 12 bulan akan datang sebanyak AS$2.97 bilion; jaminan kerajaan matang dalam setahun AS$417 juta.

Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, untuk tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek mata wang asing yang telah dikenal pasti termasuk pembayaran balik pinjaman luar negara yang dijadualkan, sekuriti dan deposit berjumlah AS$12.14 bilion.

”Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing.

“Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$21.23 bilion pada akhir bulan Disember 2025, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” menurut bank pusat dalam satu kenyataan.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Tambah BNM, unjuran aliran masuk mata wang asing ini berjumlah AS$2.97 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun berjumlah AS$417 juta.

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Disember 2025 tetap boleh guna,” katanya.