SIMPANG PULAI, 27 Oktober – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia berpotensi menarik lebih ramai pelabur strategik ke Perak, khususnya dalam sektor Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).
- ART dijangka tarik pelabur strategik AS ke Perak, menyokong pembangunan industri NR-REE negeri.
- Menteri Besar Saarani anggap perjanjian sebagai berita gembira untuk negeri pengeluar NR-REE.
- Perdagangan NR-REE sebelum ini tertumpu kepada China; ART buka laluan pasaran baharu dengan AS.
- Perjanjian bertujuan kukuhkan ekonomi dua hala, perluas akses pasaran, dan tingkatkan rantaian bekalan.
- Menteri Zafrul tekankan ART tidak ganggu kedaulatan; Malaysia dapat akses pasaran lebih baik.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad menyambut baik langkah itu dan menyifatkannya sebagai satu berita gembira terutama kepada negeri-negeri pengeluar NR-REE.
“Sudah tentu perjanjian yang dimeterai ini menggembirakan negeri-negeri pengeluar NR-REE termasuk Perak.
“Sebelum ini perdagangan sektor itu lebih tertumpu kepada China, namun kini peluang baharu dengan Amerika Syarikat dijangka menarik lebih ramai pelabur strategik ke negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Makmal Penyelidikan dan Pembangunan Zantat Poly+Cal Innovation Lab di sini, hari ini.
Perjanjian yang dimeterai semalam bertujuan mengukuhkan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan ART tidak akan menjejaskan kedaulatan negara sebaliknya Malaysia turut memperoleh keuntungan dari segi akses pasaran yang lebih baik berbanding yang dipersetujui sebelum ini.