ARCB Asia lancar operasi di Malaysia

Dr Udesh Chaskar

KUALA LUMPUR, 12 April – ARCB Asia, kumpulan pelaburan modal dan pembangunan usaha niaga berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bagi melancarkan operasinya di Malaysia sebagai pintu masuk pengembangannya ke rantau ASEAN.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dr Udesh Chaskar menekankan perluasan penggunaan kecerdasan buatan dalam pendidikan dan sokongan kepada pertumbuhan perniagaan ekosistem halal.
  • Kerjasama dengan ReSkills dan JLM laksanakan program AI di universiti tempatan bermula di UiTM melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
  • Inisiatif bertujuan memperkenal serta membantu pelajar memahami, mempelajari dan menggunakan aplikasi AI secara lebih praktikal.
  • Kerjasama strategik dengan Kanzun Ventures dan Rakyat Trustee menubuhkan dana fokus ekosistem halal untuk sokongan modal, pembiayaan dan pengembangan perniagaan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif ARCB Group, Dr Udesh Chaskar berkata, langkah itu disasar memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI), dalam bidang pendidikan, di samping menyokong pertumbuhan perniagaan dalam ekosistem halal.

Memorandum persefahaman (MoU) pertama melibatkan ARCB Asia bersama ReSkills dan JLM akan menjadi platform pelaksanaan program AI di universiti tempatan, dimulakan dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebelum diperluas ke institusi lain.

“Memorandum Persefahaman pertama akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program kami menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ARCB bagi memperkenalkan JLM sebagai ejen AI di universiti-universiti seluruh Malaysia.

“Sebagai ahli lembaga UiTM, saya memulakannya dengan UiTM terlebih dahulu sebelum diperluas ke universiti lain,” katanya selepas Majlis Pelancaran ARCB Asia di ibu negara.

Tambahnya, inisiatif itu bukan sekadar memperkenalkan teknologi AI kepada pelajar, malah membantu mereka memahami, mempelajari dan menggunakan aplikasi berasaskan AI secara lebih praktikal selaras keperluan masa depan.

Manakala MoU kedua pula melibatkan kerjasama strategik bersama Kanzun Ventures Management dan Rakyat Trustee Berhad bagi menubuhkan dana yang memfokuskan kepada ekosistem halal.

Ia bertujuan untuk membantu syarikat atau perniagaan tempatan untuk berkembang, contohnya dari segi modal, pembiayaan atau sokongan bagi meluaskan operasi.

Melalui kerjasama itu, ARCB Asia menyasarkan lebih banyak peluang pertumbuhan kepada perniagaan tempatan, sekali gus memperkukuh hubungan ekonomi antara negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan negara-negara ASEAN dalam ekosistem halal.