Aliran pelaburan, permintaan domestik bakal sokong pertumbuhan positif suku pertama 2026 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Januari – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan ekonomi negara akan berkembang antara 4.8 peratus hingga 5.1 peratus pada suku pertama 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aliran masuk pelaburan berterusan kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi suku pertama 2026.
  • Permintaan domestik yang kukuh menyokong momentum pertumbuhan dan daya tahan ekonomi negara.
  • Keutamaan pada kestabilan politik, produktiviti dan inisiatif DDI penting untuk kelangsungan pertumbuhan.

Pengarah Eksekutif MIER, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata unjuran positif itu berasaskan kepada momentum pertumbuhan menggalakkan pada suku terakhir 2025 seperti dipamerkan menerusi pelbagai petunjuk utama ekonomi.

Jelasnya, aliran masuk pelaburan yang berterusan dan permintaan domestik yang kukuh kekal sebagai pemacu utama bagi pertumbuhan tiga bulan pertama dan sepanjang tahun ini.

“Dari segi makroekonomi, saya melihat beberapa petunjuk utama seperti pertumbuhan, inflasi, pengangguran, imbangan eksport dan perdagangan, serta defisit kerajaan yang terus dikawal.

”Ini memberi keyakinan lebih tinggi terhadap ekonomi kita di bawah Kerajaan MADANI dan meningkatkan tanggapan bahawa Malaysia akan menjadi lebih kompetitif,” katanya kepada pemberita RTM di Angkasapuri Kota Media.

Tambahnya, di sebalik prospek ekonomi global yang sederhana serta ketidaktentuan geopolitik yang berlanjutan, beliau yakin ekonomi Malaysia masih berdaya tahan dan mampu mengekalkan pertumbuhan dalam julat unjuran.

Bagi keseluruhan tahun ini, MIER menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 peratus dan 4.7 peratus, bergantung kepada kemajuan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Selain faktor kestabilan politik, usaha melonjakkan produktiviti, serta inisiatif menggalakkan pelaburan langsung domestik (DDI) perlu diberi keutamaan bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi untuk tempoh akan datang.