
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dijangka menaikkan tambang penerbangan secara sederhana susulan peningkatan kos bahan api akibat konflik di Asia Barat, namun kekal menawarkan harga berpatutan kepada pengguna.
- AirAsia tidak akan membatalkan penerbangan kerana permintaan kukuh dan mampu menyerap sebahagian kos operasi.
- Kenaikan tambang tidak dapat dielakkan tetapi AirAsia jamin kadar peningkatan lebih rendah berbanding syarikat lain.
- Peningkatan kos perlu dikongsi dengan pembekal bahan api dan pengendali lapangan terbang; syarikat yakin hadapi cabaran melalui inovasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat tidak berhasrat membatalkan penerbangan memandangkan permintaan kekal kukuh walaupun harga minyak mentah meningkat.
Menurut beliau, permintaan yang memberangsangkan ketika ini membolehkan syarikat terus beroperasi serta
menyerap sebahagian peningkatan kos operasi .
“Permintaan adalah baik, kami boleh terus beroperasi dan menyerap kos tambahan ini kerana kapasiti penerbangan dari rantau Teluk seperti Emirates, Etihad dan Qatar telah berkurangan sekitar 15 hingga 20 peratus tempat duduk”, ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kenaikan tambang AirAsia adalah lebih rendah berbanding syarikat penerbangan lain.
“Tambang perlu dinaikkan, tiada pilihan lain, tetapi tambang kami akan meningkat jauh lebih rendah berbanding yang lain”, katanya pada sidang media Capital A, hari ini.
Dalam masa sama, beliau menegaskan peningkatan kos tidak boleh ditanggung oleh syarikat penerbangan sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pembekal bahan api dan pengendali lapangan terbang.
Tony turut menyatakan keyakinan bahawa industri penerbangan mampu mengharungi cabaran semasa melalui inovasi dan langkah strategik, sebagaimana yang dilakukan ketika pandemik COVID-19.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengumuman lanjut mengenai perancangan cabang penerbangan syarikat akan dibuat minggu hadapan.
Pada majlis berkenaan, AirAsia turut mengumumkan pelantikan Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya berkuatkuasa 6 April ini.