AI, produktiviti penentu pertumbuhan jangka panjang Malaysia

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Februari – Gelombang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pusat data dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi struktur ekonomi Malaysia ke arah aktiviti bernilai tambah tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI, semikonduktor dan pusat data sebagai pemangkin transformasi ekonomi menuju aktiviti bernilai tambah tinggi.
  • Perlu tenaga kerja berkemahiran dari TVET hingga graduan universiti untuk menyokong rantaian industri AI.
  • Peningkatan produktiviti melalui digitalisasi dan automasi penting untuk pertumbuhan jangka panjang, terutama bagi PKS.

Ahli Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan, EU-ERA The Future, Muhammad Anas Nabil Al-Fattah Muhammad Yazid berkata pembangunan sektor berasaskan teknologi dan digital mampu menyokong momentum pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan.

Pembangunan sektor digital memerlukan sokongan tenaga kerja di semua peringkat kemahiran, termasuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, kemahiran teknikal kekal penting dalam menyokong rantaian industri AI, selain sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan.

“Kemahiran TVET amat diperlukan dalam rantaian industri di peringkat awal bagi menyokong perkembangan sektor perkhidmatan dan industri. Pada masa sama, pelajar TVET diperlukan untuk membantu memperkukuh aktiviti ekonomi dalam sektor AI.

“Graduan universiti pula boleh memanfaatkan perkembangan AI, khususnya dalam bidang perkhidmatan profesional, kerana pembangunan teknologi sangat bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya ketika ditemui selepas program Bual Biz, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pertumbuhan ekonomi sentiasa tertakluk kepada kitaran perniagaan dan boleh berubah mengikut perkembangan persekitaran global.

Sehubungan itu, peningkatan produktiviti perlu menjadi fokus utama, termasuk peralihan daripada model perniagaan berintensifkan buruh kepada pendekatan digitalisasi dan automasi, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sekiranya ekonomi Malaysia dijangka berkembang dan stabil pada hari ini, keadaan pada masa hadapan masih boleh berubah. Justeru, komponen paling penting ialah produktiviti yang menjadi asas pertumbuhan jangka panjang.

“Kaedah perniagaan perlu beralih daripada model tradisional yang terlalu bergantung kepada tenaga buruh kepada pendekatan berasaskan digitalisasi dan automasi.

“Di negara maju, kebanyakan PKS lebih menumpukan kepada penjanaan nilai tanpa terlalu bergantung kepada penggunaan buruh yang tinggi. Fokus utama perlu diberikan kepada peningkatan produktiviti dan bukan lagi kaedah perniagaan konvensional,” tambahnya.