
PUCHONG, 2 Januari – Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi alat penting membantu usahawan untuk bergerak ke hadapan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan persaingan global dalam era pendigitalan.
- AI kini alat penting untuk membantu usahawan bersaing dalam ekonomi digital dan global.
- Usahawan yang tidak mengadaptasi AI berisiko ketinggalan walaupun kemahiran keusahawanan masih relevan.
- AI membantu membuat keputusan berasaskan data, meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos.
- AI memperkukuh kreativiti dan strategi perniagaan, sementara pemikiran kritikal tetap tunjang utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Keusahawanan T&L Group, Izzati Syahirah Ahmad Fuad berpendapat, usahawan yang tidak menggunakan AI berisiko ketinggalan dalam perniagaan moden.
“Kemahiran keusahawanan masih relevan walaupun tanpa AI, namun usahawan yang tidak menggunakan AI sebagai alat sokongan akan jauh ketinggalan berbanding mereka yang sudah mengadaptasinya,” katanya kepada RTM.
Jelasnya, teknologi dan AI berpotensi menjadi pencetus perubahan kepada usahawan muda di Malaysia, khususnya dalam membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat dan berasaskan data.
Selain itu, penggunaan AI membolehkan sesebuah syarikat menilai keperluan penjimatan kos, meningkatkan kecekapan operasi, serta merangka strategi perniagaan jangka pendek dan panjang secara lebih tersusun.
“AI bukan sekadar teknologi, tetapi satu alat yang membantu usahawan mengenal pasti peluang baharu di pasaran.
“Namun, asas kemahiran seperti pemikiran kritikal dan kebolehan membuat keputusan tetap menjadi tunjang utama, dengan AI berperanan memperkukuh kreativiti dan keberkesanan strategi perniagaan,” jelasnya.