44,000 kes pelabur diselesaikan, capai pelaksanaan projek 99.9 peratus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya menyelesaikan lebih 44,000 kes pelabur dengan kadar pelaksanaan projek sebanyak 99.9 peratus dalam tempoh dua tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • IMFC menyelesaikan lebih 44,000 kes pelabur dengan kadar pelaksanaan projek mencapai 99.9 peratus dalam dua tahun.
  • 90 peratus daripada 4,377 projek pembuatan diluluskan antara 2021 hingga Sept 2025 kini beroperasi.
  • IMFC gabungkan 12 kementerian dan agensi untuk penyelesaian pantas, kepastian peraturan dan akses sumber kepada pelabur.

Pengerusi MIDA Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan memaklumkan, angka tersebut menandakan perubahan hala tuju dalam pendekatan pelaburan negara, merangkumi bukan sahaja promosi malah pelaksanaan yang berkesan.

“Daripada 4,377 projek pembuatan yang diluluskan antara 2021 hingga September 2025, 90 peratus daripadanya sudah beroperasi.

”Misi promosi pelaburan tidak berakhir apabila surat kelulusan dikeluarkan, sebaliknya yang lebih penting adalah langkah susulannya,” jelasnya dalam kenyataan.

IMFC beroperasi sebagai platform yang diselaraskan merangkumi 12 kementerian dan agensi menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan.

”Inisiatif ini diwujudkan bagi memberikan penyelesaian yang pantas, kepastian peraturan selain akses kepada sumber tepat untuk pelabur.

”Kedudukan Malaysia yang melonjak dari tangga ke-34 ke tangga ke-23 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025 mencerminkan kesan kumulatif usaha fasilitasi ini,” tambah kenyataan itu.