fb fb fb fb fb

Zunar junjung titah Agong, padam kartun satira

Kartunis Zunar atau Zulkiflee SM Anwar Ulhaque

KUALA LUMPUR, 12 April- Kartunis Zunar atau Zulkiflee SM Anwar Ulhaque telah bertindak memadam kartun satira, yang didakwa berkaitan dengan kalimah Allah.

Kartunis itu menafikan bahawa tindakan memadam kartun "Phobia Kalimah" yang dimuatk naik di media sosial disebabkan takut berdepan dengan laporan polis yang dibuat oleh Pemuda Pas Kelantan, sebaliknya menjelaskan ia sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

"Saya tidak akan melayan tindakan oleh Pemuda Pas Kelantan kerana mereka tidak ada keupayaan untuk berfikir secara intelektual, kerana itu mereka tidak memahami karya-karya kartun satira.

"Saya tahu pasti apa yang dilukiskan.

"Cuma saya rasa selepas titah Yang di-Pertuan Agong terbaharu, sudah sampai masanya menghentikan karya-karya mengenai isu tersebut", ujarnya menerusi kenyataan kepada sebuah akhbar tempatan.

Zunar turut mempersoalkan bahagian karyanya yang didakwa menghina Allah atau agama Islam.

"Kepada mereka yang mahu berfikir dengan akal sihat, kartun itu hanya menggambarkan ketakutan atau fobia sesetengah golongan terhadap sesuatu lambang sehinggakan menimbulkan tafsiran berlebihan", katanya.

ROSLINA BINTI DIN