Ziarah Moreh Ramadan Kelantan FM 2026 santuni keluarga kurang bernasib baik

Foto RTM

KOTA BHARU, 13 Mac -Siri Ziarah Moreh Ramadan Kelantan FM 2026 diteruskan bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik dengan kerjasama rakan strategik, J.M Otomobile Inovatif.

Penerbit Program, Roselam Che Soh berkata, seramai lapan keluarga disantuni menerusi program tersebut yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Menurut beliau, pada tahun ini program dimulakan dengan fasa pertama yang melibatkan empat keluarga asnaf dan ibu tunggal di sekitar Wakaf Bharu, Tumpat pada minggu lalu.

Fasa kedua pula dilaksanakan di sekitar Kota Bharu malam tadi.

Bantuan yang disampaikan merangkumi sumbangan zakat serta barangan keperluan asas sebagai persediaan menyambut Ramadan.

“Tidak lama lagi kita akan menyambut Aidilfitri, dan program ini merupakan antara persiapan bagi membantu golongan asnaf yang menerima sumbangan pada malam ini.

“Program Ziarah Moreh Ramadan ini merupakan kali ketiga dianjurkan oleh RTM Kelantan, melibatkan lawatan ke rumah-rumah asnaf di seluruh Kelantan.

“Pada tahun ini, lawatan yang diadakan pada malam ini merupakan fasa kedua sempena pelaksanaan program Ziarah Moreh Ramadan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan JM Otomobil Inovatif Basri Mat berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu mencerminkan komitmen Kelantan FM bersama pihaknya untuk meneruskan kerjasama tersebut pada setiap tahun.

“Kami berkolaborasi dengan pihak RTM Kelantan untuk memberikan sedikit sumbangan kepada golongan asnaf di negeri Kelantan.

“Kami bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan peluang untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, bagi penerima bantuan, mereka amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kelantan FM serta pihak rakan strategik atas sumbangan yang diterima, kerana ia memberi impak yang besar kepada mereka.

“Saya rasa gembira dan terharu dengan sumbangan dan lawatan ini,” penerima, Wan Arif Muliawan Mat Husin.

“Terima kasih banyak-banyak. Saya bersyukur kerana mereka sudi datang membantu saya. Terima kasih juga kepada Kelantan FM dan pihak-pihak terlibat atas sumbangan ini,” penerima,
Nabihah Abd Rahim.

Program Ziarah Moreh Ramadan merupakan aktiviti tahunan Kelantan FM sebagai sebahagian pengisian bagi menyantuni golongan sasaran sepanjang bulan Ramadan.