fb fb fb fb fb

Zhao Leji tiba di Malaysia, lawatan tiga hari

(FOTO BERNAMA)

SEPANG, 18 Mei- Penggubal undang-undang tertinggi China, Zhao Leji tiba di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi lawatan mesra rasmi ke Malaysia sehingga 20 Mei ini.

Zhao, pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, membuat lawatan ke negara ini atas jemputan Speaker Dewan Rakyat Malaysia (Dewan Rakyat) Datuk Johari Abdul. 

Sejurus tiba di KLIA sekitar jam 8.15 pagi tadi, Zhao kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 26 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Mohd Hafeez Abdul Halim.

Beliau bersama 57 orang delegasinya disambut oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Ahli jawatankuasa tetap biro politik Parti Komunis China (CPC) itu juga akan berada di Malaysia selama tiga hari dan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga akan ke Melaka sebagai sebahagian daripada lawatannya termasuk melawat Jonker Walk, Muzium Warisan Baba dan Nyonya serta Selat Melaka sebelum berlepas pulang ke Beijing pada Sabtu.

Hari ini, penggubal undang-undang tertinggi China itu dijadual mengadakan mesyuarat delegasi dua hala dengan Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dan Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu