KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Semua masjid dan surau bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk Allahyarham Zara Qairina pada esok (14 Ogos), selepas Solat Maghrib.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menerusi satu kenyataan menyebut, penganjuran majlis ini bukan sahaja sebagai doa untuk kesejahteraan Allahyarham, tetapi juga tanda kasih sayang, solidariti dan keprihatinan umat Islam terhadap keluarga yang sedang diuji.
Sebagai tanda kebersamaan, JAKIM akan memastikan semua pengurusan masjid bawah agensi itu melaksanakan arahan ini dengan penuh tertib dan teratur, sesuai dengan syiar Islam.
Beliau turut menyeru umat Islam hadir dan menyertai majlis ini di masjid atau surau terdekat, agar doa yang dipanjatkan bersama menjadi sumber kekuatan kepada keluarga serta amal jariah berterusan buat Allahyarham.
Bagi pihak JAKIM, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama hamba Allah yang beriman.