KUALA LUMPUR, 7 Mac- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa mendahului senarai 32 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025.
Beliau dikurniakan Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Noridah Abdul Rahim yang turut dikurniakan SMW.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pingat berkenaan di Balairung Seri, Istana Negara bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 hari ini.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merupakan antara sembilan penerima Darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.
Antara individu lain yang turut dikurniakan gelaran Datuk termasuk Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Penasihat Undang-Undang Istana Negara, Zulharry Abdul Rashid.
Bagi tahun ini juga, seramai enam individu dikurniakan Johan Mahkota Wilayah (JMW), lima penerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), empat individu pula menerima Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan enam penerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut mengiringi baginda adalah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.