SEREMBAN, 7 Mac- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengumumkan penetapkan tiga kadar bayaran berbeza bagi Zakat Fitrah tahun ini iaitu sebanyak RM7, RM12.50 dan RM22 mengikut jenis beras harian.
Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir, kadar tersebut ditetapkan berdasarkan kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh penduduk Islam di negeri berkenaan.
"Pewartaan kadar zakat fitrah ditetapkan RM7 untuk pengguna beras jenis Super Special Tempatan lima peratus, RM12.50 bagi pengguna beras Super Import, Super Wangi dan Herba Ponni manakala RM22.00 pada pengguna beras Super Basmathi
"Kalau dulu ketika kadar RM7, kadang-kadang orang bayar lebih, tapi dia bayar untuk amil. Sekarang ni kalau nak buat macam tu kena buat infak atau sedekah,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Kadar Zakat Fitrah bagi tahun 2024 di Menara MAINS, Seremban.
Jelasnya, MAINS menyediakan kaedah pembayaran bersemuka dan secara dalam talian termasuk kaunter zakat MAINS, menerusi 1,250 Amil Zakat Fitrah yang ditauliah MAINS atau di www.zakatns2u.biz/fitrah, MAINS Pay serta JomPAY.
Tambahnya, turut berlaku peningkatan terhadap bayaran fidyah di Negeri Sembilan selepas merekodkan kutipan sebanyak RM2.8 juta bagi tahun 2023.
Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM7 juta bagi tahun ini.
MAINS turut memperuntukkan sebanyak RM17,366,030 bagi perbelanjaan zakat sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.
Terdahulu, Negeri Sembilan merekodkan jumlah hasil kutipan zakat sebanyak RM161.2 juta bagi tahun lalu.