Zakat fitrah di Perak pada kadar RM10, RM16 dan RM25

Foto BERNAMA

IPOH, 3 Februari – Kadar bayaran zakat fitrah di Perak bagi tahun ini ditetapkan pada kadar RM10, RM16 dan RM25 selaras ketetapan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan telah diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelarasan kadar zakat fitrah berdasarkan kajian harga beras semasa oleh dua pihak berkaitan.
  • Kadar ditetapkan RM10 untuk beras putih import dan beras super spesial tempatan.
  • RM16 dikenakan untuk beras perang, beras rebus, herba ponni dan beras wangi atau seumpamanya.
  • RM25 bagi pengguna beras basmathi, beras Jepun atau calrose, beras pulut, beras merah dan seumpamanya.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pelarasan kadar bayaran zakat dibuat berdasarkan dapatan kajian semasa berkaitan kos sara hidup, khususnya melibatkan harga beras di pasaran.

“Perbandingan harga dibuat oleh dua pihak yang terlibat dalam penentuan harga beras. Pertama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Unit Kawal Selia Beras.

“Kedua, kajian yang dilakukan secara realiti di pusat-pusat perniagaan yang menjual beras. Berdasarkan perbandingan itu, satu kesimpulan dan rumusan dibuat yang mendapati harga ketiga berkenaan adalah lebih rendah berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi di Ibu Pejabat Zakat Perak Al-Ridzuan, di sini.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perak melalui Zakat Perak Al-Ridzuan melantik seribu tujuh ratus 35 Penolong Amil Fitrah bagi tahun ini.

Kadar bayaran bagi pengguna beras putih import serta beras super spesial tempatan, ditetapkan sebanyak RM10 manakala pengguna beras perang, beras rebus, herba ponni dan beras wangi atau seumpamanya, dikenakan kadar RM16.

Sementara itu, kadar RM25 ditetapkan bagi pengguna beras basmathi, beras Jepun atau calrose, beras pulut, beras merah dan seumpamanya.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan