fb fb fb fb fb

Zahid rasmikan Projek Loji Janakuasa Biogas (Efluen Sawit) Grid Bersambung Terbesar di Malaysia

Timbalan Perdana Menteri. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ Foto RTM

JERANTUT, 18 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merasmikan pembinaan Projek Loji Janakuasa Biogas (Efluen Sawit) Grid Bersambung Terbesar di Malaysia, di Kilang Sawit FELCRA Jayaputra, di sini.

Loji Janakuasa Biogas berkapasiti 5.5 Megawatt (MW) mula beroperasi sepenuhnya pada 11 April 2024 itu mampu membekalkan tenaga elektrik kepada hampir 14,000 rumah atau kira-kira 70,000 orang penduduk luar bandar.

Loji janakuasa biogas (efluen sawit) grid bersambung terbesar di Malaysia itu, telah mendapat pengiktrafan oleh Malaysia Book of Record, hasil kerjasama strategik antara FELCRA Berhad, Felora Jayaputra Sdn Bhd dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) anak syarikat UEM Group Berhad.

" Tadi kita menyaksikan bahawa Malaysia Book Of Records diperolehi oleh kilang biogas di jerantut. Kita harap ini akan dijayakan kerana setakat ini di Malaysia, ini merupakan kilang biogas terbesar", katanya di sini.

Menurut Datuk Seri Dr Zahid, penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy) melalui projek biogas dari sisa efluen kelapa sawit (Palm Oil Mill Effluent (POME)) itu merupakan inisiatif strategik bagi memastikan negara terus memperolehi sumber tenaga elektrik secara berterusan di samping menjamin kelestarian alam sekitar.

Tambahnya, untuk mencapai aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh lima hingga lapan tahun yang akan datang, keperluan bekalan tenaga elektrik yang stabil dan konsisten memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan, pertumbuhan, perindustrian dan perbandaran.

Justeru, beliau turut menggalakkan agensi kerajaan untuk memperkasakan kerjasama strategik dengan syarikat swasta yang berpotensi bagi mengukuhkan kemampuan serta mengembangkan akses kepada kepakaran dan pemindahan teknologi yang dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

Sementara itu, Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tiba pada pukul 10 pagi tadi, turut berkesempatan meninjau dan melihat sendiri kemajuan projek serta pengoperasian kilang tersebut. 

Lawatan itu juga antara lain bagi melihat inisiatif yang diperkenalkan di kilang sawit Felcra Jayaputra selain potensi untuk dikembangkan di kilang-kilang pemprosesan buah sawit milik FELCRA yang lain untuk diketengahkan dengan teknologi seumpama. 

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Ahmad Jazlan Yaakub,  Pengerusi FELCRA Jayaputra, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Pengerusi Cenergi SEA Berhad Datuk Mohd Izani Ghani.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD