(Foto FB Zahid Hamidi)
KUALA LUMPUR, 23 November- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO seperti dinyatakan dalam surat palsu yang tersebar melalui media sosial.
Berdasarkan hantaran Facebook, beliau memohon supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Surat yang telah disebarkan seperti berikut adalah palsu dan rekaan manusia yang tidak bertanggungjawab. Mohon doakan yang terbaik untuk dalam keadaan sekarang ini,” tegasnya hari ini.
Surat palsu itu mendakwa satu mesyuarat tergempar telah diadakan dengan dihadiri oleh pemimpin utama setiap parti gabungan BN dan pimpinan tertinggi BN.
Selain itu, ia mendakwa beberapa keputusan telah dicapai untuk menentukan gabungan mana yang akan disokong BN, sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) pada hari ini.
Mengikut surat palsu tersebut, turut didakwa Ahmad Zahid dengan berat hati meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO atas dasar tanggungjawab di atas kekalahan besar BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Malah, ia turut mendakwa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memangku jawatan itu sehingga pemilihan UMNO diadakan pada Januari 2023.
(Foto FB Zahid Hamidi)