fb fb fb fb fb

YKM belanja RM5 juta setahun bantu 977 anak yatim

FOTO RTM

PASIR MAS, 8 Januari- Seramai 977 waris yang kehilangan anggota keluarga akibat pandemik COVID-19 menerima manafaat menerusi Bantuan Kasih di perkenal Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) di seluruh negara.
 
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif yang sudah digerakkan sejak 2022 itu membabitkan bantuan secara sekali beri dan bulanan melibatkan peruntukan sejumlah RM5 juta setahun.

Beliau berkata, bermula tahun ini, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 manakala yang berusia lebih daripada itu sehingga 18 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama akan menerima bantuan sebanyak RM250 setiap bulan.
 
"Setakat ini masih lagi dengan dana yang dibantu kerajaan dan kita juga cuba mencari dana sampingan, sebab itu tahun lepas kita adakan Larian Keluarga Malaysia. Penerima ini selain anak yatim kita juga lihat pendapatan keluarga," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan lain diperkenal termasuk Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading, Hadiah Kecemerlangan Akademik, Sumbangan Perayaan dan Bantuan Bencana serta Pengurusan.
 
Terdahulu, bekas perdana menteri itu hadir pada Program Ziarah Kasih terhadap keluarga Ahmad Hadzlimi Nordin di Kampung Bechah Palas, Bunut Susu, Pasir Mas.
 
Menurut beliau, pihaknya terus komited untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu terlibat yang kehilangan orang tersayang akibat Pandemik COVID-19.
 
Setakat ini pihaknya juga menerima lebih 1,000 permohonan baharu bawah bantuan sama di seluruh negara.
 
Di Kelantan sahaja, seramai 105 individu daripada 35 keluarga menerima bantuan terbabit.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE