KUALA LUMPUR, 6 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Antara anggota Jemaah Menteri yang hadir ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, serta perwakilan asing dari Qatar, Bahrain, Mesir, Indonesia, Palestin, Brunei, Turkiye, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Terdahulu, Seri Paduka Baginda menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah bersama tetamu jemputan di Surau Utama Istana Negara, yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.
Seri Paduka Baginda berdua kemudian berangkat ke Dewan Santapan Utama bagi majlis berbuka puasa.