KUALA LUMPUR, 17 Jun – Yayasan UEM, sayap kebajikan kepada UEM Group Berhad meneruskan komitmennya dalam membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan akses kepada rawatan kesihatan dengan menyalurkan dana berjumlah RM2 juta bagi pelaksanaan program Bantuan Perubatan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, Aishah Nor berkata dengan penyaluran dana terbaharu itu, jumlah keseluruhan sumbangan sejak program itu dilancarkan pada tahun 2014 kini mencecah RM13.9 juta.
“Tahun ini, inisiatif ini turut diperluaskan dengan penyertaan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai rakan strategik keempat. HRC menyertai tiga hospital sedia ada iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM),” katanya.
Menurut beliau, setiap hospital terlibat menerima sumbangan sebanyak RM500,000 yang akan digunakan untuk pembelian kelengkapan perubatan penting termasuk perentak jantung, peralatan pernafasan, ubat-ubatan serta menampung kos rawatan pesakit.
“Secara khusus, sumbangan kepada HRC akan disalurkan bagi mendapatkan peralatan Transcranial Magnetic Stimulation (TMS) yang digunakan untuk rawatan rehabilitasi neurologi, selain menampung kos jangka panjang pemulihan pesakit,” jelasnya.
Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di HRC hari ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, Aishah Nor, dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Suriani Ahmad.
Aishah turut menekankan, peningkatan kos penjagaan kesihatan menjadikan bantuan seperti itu amat penting dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kami percaya usaha ini bukan sekadar menyelamatkan nyawa, malah memberi harapan kepada pesakit untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna,” katanya.
Program Bantuan Perubatan yang kini memasuki tahun ke-12 penganjurannya telah memberi manfaat kepada lebih 1,600 pesakit di seluruh negara sejak mula dilaksanakan.