KUALA LUMPUR, 14 Februari- Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berhasrat untuk melahirkan pemimpin perniagaan, profesional dan sosial dalam kalangan Bumiputera sebagai usaha menangani pelbagai isu yang dihadapi masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ibrahim Sani menerusi satu kenyataan memaklumkan, matlamat utama pihaknya adalah untuk menyelesaikan isu besar iaitu berkaitan penyertaan dan penguasaan ekonomi yang masih rendah dalam kalangan golongan itu selain mengubah pemikiran lapuk kepada menumpukan terhadap penciptaan nilai.
“Satu-satunya cara untuk menangani masalah ini ialah dengan melatih semula dan meningkatkan kemahiran baharu bakat bumiputera bagi memenuhi keperluan sektor baharu dan lama.
“Peralihan tenaga, penyimpanan tenaga dan sekuriti makanan antara sektor baru muncul, manakala kewangan dan perkhidmatan perniagaan merupakan sektor lama,” katanya.
Beliau berkata Yayasan Peneraju ditubuhkan kerajaan untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan bumiputera secara sejagat dan berterusan.
Menurut Ibrahim agensi berkenaan juga mahu meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat-bakat bumiputera sejajar dengan usaha menaik taraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), profesional, teknologi dan spesialis.
Jelasnya, pada masa ini Yayasan Peneraju sedang melaksanakan proses pendigitalan secara komprehensif antaranya dengan memanfaatkan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan analitik serta membabitkan bekas penerima faedah dengan menjadikan mereka sebagai alumni Yayasan Peneraju.