fb fb fb fb fb

Yayasan Hasanah salur lebih RM1.09 juta bantu penduduk terjejas banjir

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Yayasan Hasanah, yayasan berimpak di bawah Khazanah Nasional Berhad, menyalurkan lebih RM1.09 juta bagi bantuan dan pemulihan banjir kepada komuniti terjejas susulan Monsun Timur Laut yang melanda beberapa negeri.

Sumbangan itu dibiayai oleh Khazanah dengan sokongan Kementerian Kewangan menerusi dana bantuan GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), sebagai sebahagian usaha memastikan bantuan disalurkan secara pantas dan bersasar kepada mangsa banjir.

Setakat ini, sebanyak 18 inisiatif bantuan telah dilaksanakan, memberi manfaat kepada lebih 10,700 individu dan keluarga di Kelantan, Kedah, Perlis, Perak, Pahang, Terengganu dan Selangor.

Pemegang Amanah merangkap Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, perancangan awal dan peruntukan dana sebelum musim monsun bermula membolehkan bantuan digerakkan dengan lebih cekap, termasuk penyediaan makanan sedia dimakan, bantuan perubatan dan kit keperluan asas dalam tempoh kritikal 48 jam pertama.

Beliau menegaskan, selain fasa kecemasan, Yayasan Hasanah turut memberi tumpuan kepada pemulihan pasca banjir bagi memastikan keluarga terjejas dapat kembali ke persekitaran yang selamat dan bermaruah.

Antara bantuan disalurkan termasuk makanan sedia dimakan, kit kebersihan, kit pembersihan, kit keselesaan, sokongan bahan api bot, bantuan perubatan dan kit kecemasan.

Monsun Timur Laut yang bermula pada 13 November lalu telah membawa hujan lebat berterusan, dan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya, Yayasan Hasanah terus memperkukuh koordinasi bersama pihak berkaitan.

ROSLINA BINTI DIN