fb fb fb fb fb

YaPEIM lancar klinik dan perniagaan mesin layan diri, bantu tingkat taraf hidup asnaf

(Datuk Dr Mohd Na’im merasmikan tiga projek di bawah inisiatif Koperasi SANTUN
YaPEIM Berhad di Petaling Jaya, hari ini/FB YaPEIM)

PETALING JAYA, 31 Julai- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan tiga projek di bawah inisiatif Koperasi SANTUN YaPEIM Berhad bagi membantu
mengembangkan perniagaan golongan asnaf.

Tiga projek tersebut ialah Klinik SANTUN, Farmasi SANTUN dan Koperasi SANTUN Vending (KS Vending) yang akan diterajui oleh anak-anak asnaf yang telah berjaya menamatkan pengajian dan menjadi tenaga pakar mengikut bidang-bidang bersesuaian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, projek KS Vending ini dianggarkan akan memperolehi keuntungan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan dan setakat ini sebanyak 15 unit mesin layan diri itu ditempatkan di Universiti Malaya (UM).

"Saya berharap dapat diperluaskan dalam platform bilik pameran, institusi pengajian awam dan swasta serta beberapa agensi kerajaan yang lain.

"Saya berharap Koperasi SANTUN ini akan terus dapat berinovasi menggunakan idea-idea terkini untuk memperkenalkan produk-produk baharu yang kemudiannya memberi manfaat kepada ahli-ahli kerana keuntungan kembali kepada mereka,” katanya selepas majlis pelancaran projek itu di sini, hari ini.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar)

Tambah beliau, Klinik Santun yang telah mula beroperasi Januari dan Jun tahun ini, berjaya membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat dan seterusnya menyediakan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat dengan harga yang berpatutan.

Klinik SANTUN yang dilancarkan hari ini juga, telah membuka cawangan pertamanya di Jalan Reko, Kajang.

Sementara Farmasi SANTUN yang telah beroperasi sejak 2018 di Guar Chempedak, Kedah kini telah berpindah dan memulakan operasinya di Puncak Jalil, Selangor pada Jun lalu.

Koperasi SANTUN didaftar pada 18 Oktober 2011 dengan keahlian semasa seramai 5,054 orang.





Media Baharu