fb fb fb fb fb

Yang di-Pertua Dewan Negara meninggal dunia

Datuk Mutang Tagal dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 pada 18 Februari lalu

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada pukul 11.46 pagi tadi.

Mendiang disah menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan di pusat kesihatan itu sejak 7 Mei lalu.

Perkara itu disahkan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara dalam satu kenyataan, hari ini.

Datuk Mutang yang berasal dari Lawas menerima rawatan di IJN sebaik tiba di Malaysia dari lawatan kerja di Azerbaijan pada Selasa.

Beliau yang berusia 70 tahun itu merupakan Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990.

Kemudian dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 pada 18 Februari lalu, sekali gus menjadikan beliau pemimpin pertama etnik Lun Bawang dilantik ke jawatan itu.

Mendiang memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Curtin University dan kini memegang beberapa jawatan, antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE