KUALA LUMPUR, 20 Julai- Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak kekuatan negara dan rakyat pelbagai kaum, di samping menjamin kesaksamaan dan keadilan bagi semua warga Malaysia dalam memaknai prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara di ibu negara berkata, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan sebagai penaung agama Islam yang merupakan agama Persekutuan, pengukuh kedudukan bahasa Melayu dan pembela hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera.
"Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah mahkota negara dan rakyat yang mampu mengikat semangat kesatuan dan perpaduan dan dimuliakan sebagai mercu keihsanan.
"Sesungguhnya pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada hari ini mencatat lembaran sejarah yang Insya-Allah akan mampu mengangkat martabat negara.
"Kerajaan dan seluruh rakyat jelata berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga Seri Paduka Baginda berdua serta kerabat, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayahNya, kekal karar di atas singgahsana pemerintahan, juga beroleh ‘afiyah dan penuh kedaulatan," kata Anwar yang mewakili seluruh rakyat Malaysia turut mengucapkan tahniah kepada Raja Zarith Sofiah sebagai Raja Permaisuri Agong.
Dalam pada itu beliau juga berkata Seri Paduka Baginda berperanan dalam menjamin jalinan erat di antara negara di peringkat ASEAN, negara-negara Islam dan di peringkat antarabangsa
Pada masa sama beliau juga menzahirkan junjungan kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menaungi pemerintahan dengan amanah dan secara bijaksana sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam usaha mewujudkan reformasi dan transformasi Anwar berkata, kerajaan akan terus konsisten dalam menekankan nilai-nilai murni, pemantapan akhlak dan pengukuhan jati diri bangsa selain tumpuan diberikan kepada aspek meningkatkan kecintaan dan kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
"Ikhtiar diteruskan dengan pendekatan yang menekankan reformasi pendidikan dan kesihatan melalui peningkatan tahap dan kualiti prasarana, aspek penguasaan bahasa Inggeris serta penerokaan bidang-bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI), transformasi digital dan transisi tenaga.
"Selain itu, berkat kerjasama semua agensi dan jabatan jabatan Kerajaan, kita bersyukur kerana usaha menoktahkan kemiskinan tegar akan terjelma pada akhir bulan ini di samping Kerajaan terus akan memberikan penekanan kepada isu perumahan rakyat dan permasalahan kos sara hidup," tambahnya lagi.
Ketika mengakhiri ucapan Anwar turut menzahirkan ikrar bahawa kerajaan serta rakyat akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda.