KUALA LUMPUR, 23 Ogos –Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan memandu Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menuju ke Stesen KTMB Kluang pada pukul 7.38 pagi.
Keberangkatan baginda turut diserikan dengan Majlis Peluncuran Khas Tren ETS3 serta perasmian Laman Rel Mahkota, yang disempurnakan menerusi menandatangani plak oleh Seri Paduka Baginda sebagai simbolik pelancaran rasmi.
Sebelum memulakan perjalanan, taklimat pemanduan turut dipersembahkan kepada baginda diikuti dengan bacaan doa bagi memberkati perjalanan.
Seri Paduka Baginda turut diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sepanjang perjalanan menuju ke KTMB Kluang.