
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terus memperkasa dan memperluas pendekatan dakwah secara lebih kreatif dan segar.
- Jalinan kerjasama bersama penggiat seni untuk melestari gerakan dakwah kepada masyarakat.
- Dakwah bukan hanya ucapan; melibatkan penulisan, seni layar dan bidang seni lain sebagai medium penyampaian.
- Majlis Ilmu Ramadan dan Iftar menghimpunkan lebih 100 penggiat industri termasuk pelakon, penerbit, penulis skrip dan krew.
- Penyampaian sumbangan kepada beberapa persatuan penggiat seni sebagai sokongan terhadap program seni memberi manfaat masyarakat.
Yang Dipertua YADIM Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata pendekatan itu diterjemahkan menerusi jalinan kerjasama bersama penggiat seni tanah air bagi melestari gerakan dakwah kepada masyarakat.
“Ini merupakan satu perkembangan yang agak baik untuk YADIM dalam usaha mendekatkan organisasi ini dengan para penggiat seni. Kita mahu menunjukkan bahawa dakwah bukan hanya berkaitan perkara yang disampaikan melalui ucapan atau ceramah semata-mata.
“Ia turut melibatkan bidang seni seperti penulisan, seni layar dan sebagainya. Pada masa sama, kita juga ingin merakamkan penghargaan serta mengucapkan terima kasih kepada para penggiat seni yang telah membantu YADIM dalam menggerakkan layar dakwah organisasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ilmu Ramadan dan Iftar Bersama Penggiat Seni Malaysia dan Pendakwah Muda yang berlangsung di
ibu negara.
Majlis itu menghimpunkan lebih 100 hadirin terdiri daripada pelakon, penulis skrip, penerbit serta krew penerbitan filem dan drama, selain pendakwah muda yang aktif bersama program dakwah YADIM.
Antara rakan industri seni yang hadir termasuk Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Jurey Latif Rosli, Datuk Fauziah Nawi, Sabri Yunus, Ellie Suriaty Omar serta Mubarak Majid.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada beberapa persatuan penggiat seni sebagai sokongan terhadap usaha mereka menganjurkan program seni yang memberi manfaat kepada masyarakat.