fb fb fb fb fb

YADIM sedia perluas pemahaman isu sensitif umat Islam

Foto Fail: Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersedia memperluas pemahaman serta libat urus dengan masyarakat bukan Islam berhubung isu sensitiviti umat Islam di negara ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, inisiatif itu boleh dilaksana melalui pendekatan akademik seperti wacana, forum silang budaya dan seminar.

Katanya, pendekatan berkenaan diambil susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang mahu memperluaskan pemahaman mengenai isu sensitif umat Islam.

“Badan dakwah yang sudah berusia 50 tahun ini mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama untuk menggalas tugas yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat bagi mencapai aspirasi Malaysia Madani.

“Badan bersama-sama YADIM seperti Majlis Amal Islami Malaysia, Nadwah Ulama dan Ilmuan Yadim dan Majlis Wanita Islam Yadim akan menggunakan pendekatan akademik seperti wacana, forum silang budaya dan seminar bagi memberi pencerahan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Hasanuddin, pendekatan melalui sukarelawan YADIM (Say) mampu berperanan sebagai ejen perpaduan menerusi program-program kemasyarakatan dan kebajikan kerana segala program yang dianjurkan terbukti memberi kesan positif dalam mencapai keharmonian kaum serta masyarakat.

“Akhirnya, Yadim mempunyai program tahunan dalam melatih pelapis muda dakwah iaitu Akademi Daie Muda Yadim (ADMY).

“Dalam program ini, pelatih ADMY diterapkan dengan modul silang budaya dan agama yang mengandungi pengisian untuk mereka berinteraksi dengan pelbagai pihak bukan Muslim di negara ini,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI