KUALA LUMPUR, 28 Mac- Resolusi gencatan senjata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) adalah satu pencapaian yang wajar dirai dengan kesyukuran dan dihayati oleh umat Islam dan masyarakat global.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dalam satu kenyataan memaklumkan, YADIM menyambut baik resolusi tersebut dan berharap Majlis Keselamatan PBB memastikan Israel berhenti dari melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mematuhi sepenuhnya resolusi yang telah dipersetujui.
Tambahnya, meskipun resolusi itu memberi akses sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan dan perubatan namun tiada jaminan Israel akan menghentikan serangan ke atas Gaza selepas tamatnya Ramadan.
"Justeru, sebagai peneraju dalam gerakan dakwah di Malaysia, YADIM sentiasa konsisten dengan pendirian untuk mempertahankan nilai-nilai keadilan dan kemanusiaan terhadap rakyat Palestin serta bersedia menyampaikan naratif nilai-nilai keharmonian, perpaduan dan kemanusiaan sejagat,"menurutnya dalam kenyataan tersebut.