fb fb fb fb fb

Xi sanjung kepimpinan Sultan Ibrahim & Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) sempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana hari ini / BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 April- Presiden China, Xi Jinping menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia akan terus mencipta kejayaan lebih besar bawah pemerintahan bijaksana Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan kepimpinan progresif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya percaya di bawah pemerintahan bijaksana Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan kepimpinan progresif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan mencapai kemajuan yang lebih gemilang dan memainkan peranan penting di peringkat serantau serta antarabangsa,” kata beliau.

Presiden Xi turut menegaskan komitmen China untuk kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia, sambil mengalu-alukan lebih banyak peluang pelaburan dan pertukaran budaya antara rakyat kedua-dua negara.

Hubungan diplomatik Malaysia-China yang kini memasuki ulang tahun ke-50, menurut beliau, telah menyaksikan pertumbuhan ketara dalam sektor perdagangan, pelaburan serta kerjasama strategik.

Dalam ucapan beliau di majlis makan malam rasmi di Seri Perdana, Presiden Xi menekankan visi “komuniti berkongsi masa depan” sebagai asas baharu memperkukuh hubungan dua hala.

Ia meliputi pelbagai bidang termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan dan kebudayaan, selari dengan agenda hijau yang lestari dan kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) yang terus diperluas.

Pelaburan dalam sektor infrastruktur, teknologi serta program pertukaran pelajar dan profesional dijangka menjadi pemacu utama kepada pengukuhan hubungan strategik antara Malaysia dan China dalam tempoh akan datang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE