fb fb fb fb fb

WoGoS, panduan utama kerajaan tambah baik aspek keterjaminan makanan

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 2 April- Kerajaan mengutamakan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) bagi memantapkan aspek keterjaminan makanan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi satu kenyataan berkata satu Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2024 telah diadakan semalam, dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi yang berperanan untuk menggubal dan merangka hala tuju keterjaminan makanan negara yang lebih inklusif.

Beliau berkata dalam mesyuarat itu, ia memperhalusi beberapa inisiatif keterjaminan makanan antaranya mengadakan kerjasama serta kolaborasi dengan semua kementerian, jabatan, mahupun agensi bagi menawarkan tanah yang belum dibangunkan untuk dimanfaat bagi program penanaman bawang.

"Kerajaan juga akan membangunkan indikator khusus menerusi pembangunan indikator keterjaminan makanan yang berdaya saing bagi mengukur tahap keterjaminan makanan negara," kata kenyataan itu.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tanaga dan Transformasi Air berkata kerajaan juga akan menetapkan polisi mengenai penghasilan dan penjualan daging kultur dan hasil daging kultur serta 'cell-based food' di Malaysia.

Cadangan lain adalah transformasi perubahan struktur ke atas sektor padi dan beras negara akan diteliti mengambil kira input semua pemegang taruh sebelum insiatif ini dilaksanakan.

Kerajaan turut akan membangunkan Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (Plant Factory) sebagai instrumen yang memudah cara dan menyokong ekosistem industri tanaman makanan, khususnya melalui kaedah tanaman Kilang Tanaman.

Di samping itu, kerajaan juga akan memperkasa sektor pertanian dan memangkin transformasi digital melalui inisiatif Malaysia Digital (MD) AgTech serta meneroka teknologi nuklear dibawah Agensi Nuklear Malaysia yang boleh menyumbang kepada keselamatan dan keterjaminan makanan negara.

"Saranan konstruktif yang diketengahkan akan ditambah baik sebelum diangkat untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara kelak."

"Ia juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memastikan tahap keterjaminan makanan negara stabil dan mampan seiring dengan konsep Food Security is a Shared Responsibility," tambah kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM