Wisma Putra sedia bantu rakyat Malaysia ditahan di Toyama, Jepun

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Februari –Pegawai konsular bersedia memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, rakyat Malaysia yang kini ditahan di Toyama, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wisma Putra sedia bantu Muhammad Faiq Zafran dengan memudahkan komunikasi dan memastikan kebajikan, tertakluk persetujuan dan undang-undang Jepun.
  • Kedutaan Malaysia di Tokyo memantau rapi, mengesahkan penahanan dan segera memaklumkan waris serta berhubung dengan pihak berkuasa Jepun.
  • Notifikasi penahanan bergantung kepada permintaan tahanan; pihak berkuasa Jepun terikat Akta Perlindungan Maklumat Peribadi.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, bantuan berkenaan termasuk memudah cara komunikasi serta memastikan kebajikannya, tertakluk kepada persetujuannya dan selaras dengan undang-undang Jepun.

“Kementerian, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, terus memantau situasi ini dengan rapi.

“Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa Kedutaan tidak boleh campur tangan dalam prosiding kehakiman sesebuah negara berdaulat atau menuntut pembebasan seseorang tahanan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut menjelaskan bahawa bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963, yang turut ditandatangani Jepun, pemberitahuan kepada kedutaan asing mengenai penahanan seseorang individu tidak berlaku secara automatik, sebaliknya merupakan hak yang dilaksanakan atas permintaan tahanan berkenaan.

Menurutnya, pihak berkuasa Jepun juga terikat secara ketat dengan Akta Perlindungan Maklumat Peribadi (PPI) yang mengklasifikasikan status tahanan sebagai maklumat peribadi yang tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga, termasuk perwakilan diplomatik, tanpa persetujuan jelas individu terbabit.

Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani yang sebelum ini dilaporkan hilang di Jepun sejak 2 Disember 2025 kini berada dalam tahanan Balai Polis Toyama Minami.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah segera mengambil langkah mengesan keberadaan beliau sejurus menerima laporan kehilangan, termasuk berhubung secara langsung dengan Kementerian Luar Negeri Jepun serta pihak berkuasa penguatkuasaan tempatan,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan bahawa selepas berjaya memperoleh pengesahan rasmi mengenai penahanan itu daripada pihak berkuasa Jepun, kementerian segera menghubungi waris terdekat untuk menyampaikan maklumat berkenaan.

Menurut kementerian itu, pihaknya terus berhubung dengan keluarga bagi memastikan mereka menerima perkembangan terkini yang diperoleh melalui saluran rasmi.

Kementerian turut menegaskan komitmen penuhnya terhadap kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan mengingatkan rakyat Malaysia yang melancong atau menetap di luar negara supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan negara tuan rumah.