fb fb fb fb fb

Wisma Putra perkukuh latihan diplomat hadapi cabaran geopolitik

Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar

KUALA LUMPUR, 23 Oktober -Kepakaran diplomat Malaysia akan terus ditingkatkan bagi memperkukuh keupayaan negara menghadapi landskap geopolitik global yang semakin mencabar.

Sehubungan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Wisma Putra akan memberi penekanan kepada latihan komprehensif  berterusan supaya setiap pegawai bersedia memikul tanggungjawab diplomasi dengan cekap.

Menurut beliau, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) memainkan peranan utama dalam melatih pegawai termasuk dalam aspek penguasaan bahasa asing seperti Mandarin, Arab dan bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“IDFR menganjurkan kursus khas untuk melatih pegawai Wisma Putra dalam bahasa-bahasa ini, selain meningkatkan kemahiran dalam hubungan antarabangsa.

Kepakaran dalam bidang masing-masing adalah kekuatan kita dan penguasaan bahasa juga menjadi keutamaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mencadangkan agar Wisma Putra menambah pakar seperti sinologist dan arabologist dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan negara lain.

Tambah Datuk Seri Mohamad, pendekatan latihan menyeluruh ini membolehkan Malaysia terus berada di barisan hadapan dunia diplomasi moden serta kekal relevan dalam percaturan global.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN